Brexit buat pelabur panik


SUASANA dalam sebuah firma broker saham di London selepas referendum EU semalam.


SEOUL – Pasaran kewangan dunia mengalami pergolakan berikutan keputusan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dengan pasaran saham dan harga minyak menjunam teruk.
Nilai mata wang pound sterling dilaporkan jatuh mendadak mencecah paras terendah sejak tiga dekad lalu dalam tempoh 24 jam. Indeks Saham FTSE 100 juga menyusut 8.3 peratus.
Pelabur yang terkejut dengan perkembangan semasa itu dilaporkan menjual semula saham-saham Britain sebaik sahaja pasaran dibuka pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) semalam.
Keputusan Britain berpisah daripada blok EU juga dijangka membawa lebih banyak kesan ke atas pasaran global sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Kerajaan-kerajaan di Asia pula berikrar mengambil tindakan untuk menstabilkan semula pasaran kewangan selepas wujudnya keadaan panik dalam kalangan pelabur.
Pasaran saham Tokyo menjunam lapan peratus iaitu kejatuhan paling besar sejak 2008. Beberapa negara Asia Tenggara lain dijangka menutup pasaran dengan kerugian besar.
“Pelabur membuat pertaruhan dengan harapan ia kekal (Britain kekal dalam blok EU), namun perkara sebaliknya berlaku.
“Pasaran terumbang-ambing dan semua orang sibuk menyelamatkan diri secara serentak,” kata Pengerusi Starfort Investment Holdings di Tokyo, Ken Courtis.
Mata wang pound diniagakan 5.7 peratus lebih rendah daripada dolar Amerika iaitu pada AS$1.3701 (RM5.62). Pound juga menyusut empat peratus berbanding mata wang Euro iaitu €1.2355 (RM5.65).
Harga pasaran minyak mentah Amerika Syarikat menerima kejutan apabila jatuh 5.3 peratus atau AS$2.62 (RM10.79) kepada AS$47.49 (RM195.49) setong di New York.
Harga minyak mentah penanda aras, Brent Crude menurun 3.8 peratus atau AS$1.99 (RM8.19) kepada AS$48.90 (RM201.30) setong di London.
Kementerian Kewangan Korea Selatan dilaporkan akan mengambil semua tindakan yang perlu bagi menstabilkan semula mata wang dan pasaran kewangannya.
Pasaran saham di Shanghai, Taiwan, Sydney, Mumbai dan beberapa negara Asia Tenggara dilaporkan jatuh mendadak.
“Pasaran kewangan menjadi kecoh sejak semalam. Sekarang, semua mata sedang memerhati keputusan bank pusat di seluruh dunia dan pembangunan pasaran mereka khususnya Bank England dan Bank Jepun,” kata Penganalisis Kanan Pasaran Oanda di London, Craig Erlam. – A


Sumber:kosmo.com


EmoticonEmoticon